Friday 21 June 2013

Tips Menjaga Beg Tangan Dengan Betul

Tips menjaga beg tanganAksesori daripada kulit digemari oleh banyak fashionista.  Ia bukan sahaja menarik dan bergaya, malah selesa dipakai dan tahan lama.  Namun jika tidak betul cara menjaganya, barangan kulit akan cepat rosak.

Angela Trihapsari, pemilik jenama barangan kulit Ben n Libby Bags, menekankan bahawa penjagaan barangan kulit adalah sangat penting. Beliau cukup arif tentang barangan kulit kerana berpengalaman menghasilkan beg daripada pelbagai material seperti kulit ular, bulu biri-biri, animal print, kulit kambing dan kulit lembu. Semuanya adalah buatan tangan.

“Barangan daripada kulit memang tahan lama. Beg kulit misalnya, dapat digunakan seumur hidup, jika ia tidak musnah terbakar,” ujarnya.

Namun rupa bentuknya belum tentu sama dengan ketika ia mula-mula dibeli, sekiranya barangan kulit itu tidak dijaga dengan baik.  Angela yang kini mula menghasilkan beg kulit dari Bali, memberikan beberapa tip penjagaan barangan kulit:

Pertama sekali katanya, pemilik barangan kulit harus menyedari yang kulit bukanlah kalis air.  “Justeru berhati-hatilah supaya jangan sampai ia terkena air.  Apabila terkena air, cendawan atau kulat akan muncul pada permukaan kulit,” ujarnya.

Begitu juga ketika proses pewarnaan, jangan sampai barangan kulit itu terkena air kerana ia boleh melunturkannya. Juga, elakkan beg kulit daripada terkena dakwat pen mata bola kerana bahan itu mudah menyerap.

Sekiranya terkena air, pengeksport beg kulit ini menyarankan penggunaan losyen khusus untuk barangan kulit yang mudah diperoleh di mana-mana pasar raya. Angela menerangkan cara-cara untuk menggunakannya: “Sapukan losyen pada beg kulit dan kemudian lap.  Setelah itu angin-anginkannya selama 15 minit.  Tapi ingat, jangan sampai terkena cahaya matahari. Setelah itu, beg kulit perlu dibungkus di dalam plastik sebelum disimpan,” katanya.

Menurut Angela, sebenarnya dalam beg plastik itu sebaik-baiknya ada gel antikulat.  Namun jelas beliau, ketika ini semua barangan atau aksesori daripada kulit termasuk produk yang dihasilkannya juga mempunyai gel antikulat.

Sekadar catatan, cendawan dan bakteria yang merosakkan aksesori kulit boleh muncul dari tempat penyimpanan tak berliang, misalnya yang diperbuat daripada plastik.  Boleh jadi, ia tempat paling sesuai untuk merosakkan aksesori atau beg kulit.

Barangan kulit yang tidak dijaga dengan rapi juga berpotensi untuk rosak dan koyak.  Tekanan yang terlalu kuat dan sering pada aksesori kulit juga boleh mengakibatkan ia koyak.  Justeru, apakah yang harus dilakukan sekiranya ia terjadi?

Menurut Angela, itu menjadi masalah besar apatah lagi sifat bahan kulit dengan kain sangat berbeza.  Jika barangan daripada kain, dengan mudah dapat kita tampal.  “Tetapi sekiranya yang koyak itu ialah barangan kulit, mahu tidak mahu ia harus diproses semula atau diganti kulitnya,” jelas Angela.


sumber

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...